Rabu, 26 Ogos 2009

MEMORI HASNIZA UTK SAHABAT SEMUA

Salam.... buat rakan-rakan seperjuangan KPA PM1 sesi 1993-1995. Masih ingat dengan saya? Surat tawaran yang aku terima mengatakan aku akan menyambung pelajaran ku dalam bidang perguruan di Kuantan Pahang. Sungguh jauh tempat itu dari kampung halamanku. Tapi apakan daya, hasrat kedua ibubapaku untuk aku menjadi seorang guru terpaksa aku turuti. Pada hakikatnya, hatiku tidak mahu menjadi guru. Kalian pun tahu kan, aku ni kan 'brutal'. Mahu tidak mahu aku kena pergi juga. Maka mendaftarlah aku di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Semambu, Kuantan, Pahang. Perjalanan yang jauh, membuat aku berfikir dengan panjang, usaha ibubapaku selama ini tidak akan aku biarkan begitu sahaja. Aku tanamkan azam di dalam hati untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga aku berjaya menjadi guru. Pada masa itu, aku mula nampak perjalanan hidupku yang penuh dengan ranjau dan duri akan aku tempuhinya dengan azam dan iltizam yang kuat.
Sesampai aku di MPTAA, aku ternampak seseorang yang aku kenali... hah.. Azmon? Betul ke? Banyak kali juga aku menoleh kepada dia... la betullah dia. Secara kebetulan, dia pun ternampak aku... kami saling mengangkat kepala tanda bertegur sapa. Aku memang tak banyak cakap dengan dia... kami sekelas semasa di tingkatan 6 di sekolah lama kami. Dia memang seorang yang pendiam, tak banyak cakap.... begitulah watak dia. Aku mendaftarkan diri dan ditempatkan di kelas PM1... rupa-rupanya kami sekelas lagi... Dari sehari ke sehari, aku mendapat kawan yang ramai. Seronok juga ye? Lagi-lagi aku mendapat 'roomate' yang baik seperti Kak Min "senior PI", orang Johor. Oooo... begini rupanya hidup di maktab ye! Aku tidak pernah berpisah dengan kedua ibubapaku, rindu ku kepada mereka semakin membuak-buak. Teramat rindu... tapi apa boleh buat, aku kena tabah menghadapi ke semuanya.
Di kelas, aku tidak pandai bergaul pada mulanya, maklumlah ramai kawan dari pelbagai negeri... susah hendak berkomunikasi... almaklumlah bahasa lain-lain bunyinya.... lama-kelamaan aku sudah biasa dan seronok pula jadinya. Ida Yusnita dengan Adnan Ahmad sahaja tempat aku bercakap dan bergurau-gurau. Kami sama-sama dari Selangor. Tapi, lama-kelamaan aku menjauhkan diri sedikit bila dapat tahu rupa-rupanya mereka ada 'affair', takut nanti dikatakan mengganggu 'privasi' mereka. Anyway, mereka memang baik dan 'sporting', tidak macam pasangan yang lain, cemburu buta.... mereka bagus... boleh membawa 'cinta' mereka seiring dengan pelajaran. Mereka sentiasa 'sukses' dalam apa yang mereka buat.
Aku ini memang seorang yang 'daring' kata budak PM2 'Hisham'... aku pun tak tahu apa yang dikatakan dengan 'daring'. Mungkin aku ni berani kot....he...he...he. Aku ni, dalam kelas nakal sikit... tapi kenakalanku tidaklah mengganggu orang, cuma nakal gitu-gitu... ada pulak yang sekepala Azimah namanya atau lebih dikenali dengan "Iym". Semasa semester kedua, dia jadi 'roomate' aku, apa lagi lah makin menjadi-jadi la nakal kami. Tapi, kami tidaklah sampai melupakan pelajaran. 'Assignment' tetap dibuat 'on time' kami hantar kepada 'Chief" Sabri, tak pernah kami ketinggalan atau tidak hantar. Chief Sabri tu, memang bagus.... kami suka kat 'janggut' dia tuuu, kalau dia ada sesuatu nak dicakapkan...dia mesti urut dulu...janggutnya yang 'comel' itu... itu yang buat geli hati tuuu. Aku masih ingat pada Ida Yusnita, Adnan Ahmad, Itamarzila, Azizurrahman yang macam model, Kamisah yang cute, Fuad yang'macho', Rosdi 'Bosnia', Azmi 'panjang', Muin yang tidak dapat dilupakan senyumannya, Farouk 'gabra', Rahim yang matang, abah 'Ameran', Kak Fazila, Mahesa Suyani (Mek Su), Azlin dan ramai lagi... aku tidak ingat nama, tapi aku ingat wajah-wajah mereka... terlalu banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan.
MPTAA mencatat cerita gembira.... apabila tamat pengajianku di sana, aku 'posting' di kampung halamanku. Hajat hati nak merantau... tapi 'kabel' abahku lagi kuat, maka terpaksa la aku menurut kata mereka sementara aku belum berkahwin. Sememangnya, MPTAA mencatat cerita gembira... di Kuantan lah aku bertemu dengan suami ku sekarang.. kalau kalian masih ingat... Mohd Nor, anggota polis FRU pada masa tu. Aku bertemu dengannya pada semester ke-2, tak lama kami berkawan, dia terus melamarku. Maka, penghujung tahun 1994, aku bertunang dengannya semasa cuti semester. Gempar la sekejap cerita ku yang sudah bertunang, sampai ada yang kata aku ambil gambar main-main. Ada ke patut tuuuu, memang benar aku sudah bertunang... tengok lah cincin tunangku pada masa itu. Setahun selepas 'posting', aku melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun 1996. Rakan yang hadir adalah Ida dan Adnan, terima kasih kerana sudi hadir pada hari bahagiaku. Dari jauh mereka datang semata-mata hendak meraikan majlisku. Sampai sekarang aku di sini, aku memikul tanggungjawabku menjaga kedua ibubapaku yang semakin uzur. Suami ku sanggup berkorban dengan mengikut ku menetap di Sabak Bernam sehingga kini. Mana aku nak cari seorang suami yang begitu baik sekali dan penyayang. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baiknya menolongku menjaga kedua ibubapaku yang sakit sehingga mereka menghembuskan nafas mereka yang terakhir pada tahun 2006. Ibuku pesakit buah pinggang selama 4 tahun manakala bapaku diserang strok. Bulan Mei 2006, ibuku pergi buat selama-lamanya, 40 hari kemudian bapaku pula menyusuli ibuku... hati anak mana yang tidak remuk redam. Mujur lah, suami ku berada di sisiku... dialah kekuatanku ditambah pula dengan hadirnya 4 orang cahayamataku yang sangat-sangat aku sayangi. 3 puteri penyeri hidup dengan seorang putera kekuatan hidupku. Puteriku yang sulung sudah berumur 12 tahun... putera ke-2 berusia 9 tahun, puteri ke-3 berusia 7 tahun... dan puteri bongsu ku buat masa ini berusia 2 tahun lebih. Cukup sinar hidup ku ini....
MPTAA tetap mencatat cerita gembira..... kerana terlalu banyak cerita gembira yang hendak dikongsi bersama walaupun terselit sekelumit cerita sedih dan duka. Semua itu menjadi penguat kepadaku untuk menyusuri hidupku sebagai guru... cekal dan tekal.

Khamis, 7 Mei 2009

Sejarah

Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan sebelum ini dikenali sebagai Maktab Perguran Kuantan. Ia diwujudkan pada 1 Januari 1976 menggunakan bekas Sekolah Lanjutan di Jalan Gambut. Populasi maktab pada masa itu terdiri daripada 169 pelatih, 10 orang pensyarah dan seorang pengetua. Oleh kerana pertambahan guru pelatih dan keperluan yang mendesak, beberapa bangunan tambahan telah didirikan di sekitar tahun 1977 hingga 1980. Antaranya ialah pejabat, dewan, surau, setor sukan dan garaj.

Pada 30 Mei 1978, Kerajaan Negeri Pahang telah menyerahkan satu kawasan di Semambu kepada Kerajaan Persekutuan untuk dibangunkan sebuah Maktab Perguruan yang baru. Projek yang berharga RM13.5 juta dibiayai melalui pinjaman Bank Dunia. Pembinaannya dimulakan pada bulan September 1978 dan siap sepenuhnya pada tahun 1986.

Mulai 1 Januari 1986, pentadbiran kedua-dua maktab ini diasingkan. Maktab di Jalan Gambut dikenali dengan nama Maktab Perguruan Kuantan, Pahang Darul Makmur dan maktab di Semambu dinamakan Maktab Perguruan Kuantan (Semambu), Pahang Darul Makmur.

Pada 23 Ogos 1986, Maktab Perguruan Kuantan (Semambu) telah dibuka dengan rasminya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah. Dengan perkenan baginda telah mengistiharkan nama baru maktab ini sebagai Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (MPTAA) sempena nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad.

Selaras dengan perkembangan pendidikan perguruan, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan program Diploma Perguruan Malaysia (DPM) bermula dengan ambilan 1996. Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan telah menerima kemasukan guru pelatih DPM pertamanya pada 19 Ogos 1996. Sehingga hari ini MPTAA telah pun mengeluarkan hampir 10,000 orang guru terlatih peringkat sijil dan diploma dari pelbagai bidang pengkhususan.

Pada pertengahan tahun 1999 MPTAA telah menerima perpindahan warga Maktab Perguruan Teruntum, Jalan Gambut, Kuantan apabila maktab berkenaan ditutup.

Pada 15 November 2001, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia bersama pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan telah mengadap KDYMM Sultan Pahang bagi menyembah maklum permindahan MPTAA dari Kuantan ke Kuala Lipis.

Perpindahan MPTAA dari Kuantan ke Kuala Lipis secara rasmi berlangsung pada 25 Mei 2002 yang melibatkan seorang pengetua, seorang timbalan pengetua, 73 orang staf akademik, 74 orang staf sokongan dan 832 orang guru pelatih.

Kampus baru MPTAA dibina bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke 7 dengan kos perbelanjaan berjumlah RM55.8 juta di atas sebidang tanah yang mempunyai keluasan 24.7 hektar (60 ekar). Kampus ini mampu menampung seramai 1200 orang pelatih. Maktab ini mempunyai pelbagai prasarana dan kemudahan yang merangkumi kemudahan pentadbiran, akademik, ko-kurikulum, kediaman dan kemudahan sokongan yang lain sejajar dengan perkembangan dan keperluan pendidikan masa kini.

Pentadbiran MPTAA diketuai oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh seorang Timbalan Pengarah. Disamping itu untuk melicinkan lagi pengurusan diwujudkan 10 jabatan yang berkaitan dengan akademik serta sekumpulan staf sokongan bukan akademik.

Pada 17 Oktober 2002, MPTAA sekali lagi merakam sejarah kerana KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah berkenan mencemar Duli untuk menyempurnakan majlis perasmian Kampus Baru Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.

Ahad, 3 Mei 2009

KE RUMAH SHEIKH ABUYA

Sahabat semua, pada 1 Mei 2009, aku sekelurga dan Rosdi bersama keluarganya bertandang ke rumah Sheikh Abuya. Al maklumlah nak buat 'reunion'. Terperanjat aku lihat rumah dia, mak ai, punya besar! Ada lima atau enam bilik. Sesuai la dengan tentera yang ramai. Alhamdulillah ramai kawan-kawan kita dah teguh bertapak, tak tumbang ditolak. InsyaAllah jika kerja diiringi keberkatan begitulah hasilnya. Aku bisik-bisik juga berapa habis belanja buat sebuah banglo? Hampir 200 ribu. Wau, ganas tu.
Sekoyong-koyong aku sampai dijemput masuk berbual dan makan nasi. Kemudian aku jemput Rosdi yang lambat tiba untuk dibawa ke rumah Abuya. Selesai Rosdi dan keluarga menjamah nasi kami berbual pasal, perjumpaan kita. Abuya cadangkan agar kita bertemu di daerah Kuala Lumpur atau lebih tepat di Frim (Kepong). Aku rasa baik juga kita ke sana di samping bertemu, kita juga ada pilihan yang banyak untuk melawat tempat-tempat di sana.
Kita akan adakan aktiviti bersama-sama di sana, insyaAllah. Boleh redah hutan sikit dan naik canopi, mandi dan aktiviti lain. Dengar cerita Nan Ida setuju nak cari tempat menginap. Harapan agar dapat tempat yang mampu dibayar kita semua. Kami juga dah bersetuju nak buat dalam pertengahan bulan Disember. Harapan agar sahabat semua dapat menyertai. Jika ada , plan lain cuba cari waktu yang lain. Yang bersesuaian dengan waktu yang dinyatakan. Jika sahabat semua dapr war-warkan kepada rakan-rakan yang lain alhamdulillah. Cuba-cuba konteks member-member yang lain. Wasalam.

Rabu, 29 April 2009

MPTAA KUANTAN DALAM KENANGAN

Wahai sahabat yang dikasihi, semoga anda sekalian berada dalam lindungan Allah s.w.t.
Semalam aku terima email daripada Sheikh Sabri, dia mencadangkan kita bertemu semula di Kuantan dalam bulan Disember ini. Aku amat setuju, walau bagaimana pun harapan aku agar kita dapat bertemu dan bersemuka kembali. Dah puluhan tahun kita tak dapat bersua dan berbicara. Aku amat rindukan hilai tawa kau orang semua. Semoga usaha ini berjaya. Mungkin tiga hari dua malam kita bertemu dan bersua dah cukup nak leraikan kerinduan dan mengimbau kembali kenangan di sana.
Kita akan bawa bala tentera masing-masing dan buatkan aktiviti kepada mereka, agar mereka dapat berkenalan dan menimba kenangan di sana. Boleh juga kita imbau zaman bujang kita kecuali abah aje yang dah beranak. kah. kah.kah. Macam mana sehabat semua setuju tak? Moh le kita sama-sama keluar dari persembunyian kita dekatkan silaturahim antara kita. Yang jauh kita rapatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mersa kita satukan. Moh le kita.

VERSI AZMON

AssalamualaikumKo memang betul Sabri. Hutan Sg. Lembing juga penuh kenangan. Ingat tak lagi semasa kita mandi air lumpur yg kononnya untuk menyamak kerana telah berendam dalam kubang babi. Waktu tu kita tracking dlm hutan waktu malam. Kapten yg bawak kita tracking malam tuh buat kita macam org buduuss. Apapun yg disuruhnya kita ikut je. Tengah-tengah malam disuruh berendam dlm sungai yg sejuk pun kita ikut jek. Kononnya untuk menghilangkan najis babi kerana kita telah melalui sg yang dibuat berkubang oleh babi.Kira samak lah tuh. He he he … mana ada babi berkubang dalam sungai berjeram? Binatang tuh berkubang dalam lumpur. Habis tracking, masing-masing pi cari baldi dan lumpur . Mandi ngan air lumpur. Bukak semua pakaian. Yg tinggal, seluar paling kecik jer. Nasib baik tengah malam dlm hutan gelap. Budak perempuan tak nampak walaupun separuh bogel kita mandi kat sungai. Bila teringat balik , aku ketawa sendiri. Bendul betul la korang masa tuh. Satu lagi tentang Adnan Ahmad. Dia nih kira hebat juga. Malam tu kan hujan, khemah bocor. Tapi yg hebatnya dia boleh tidur nyenyak walaupun air menitis kat atas kepada dia. Kira kalis air jugalah dia nih.Tentang Mahani Mahafiz yg patah tangan tu, aku rasa aku pernah nampak dia kat pasar malam Tanjung Karang awal 2000 dulu. Kalau mata aku tak salah lah. Masa tu aku tengah drive. Nampak dia tengah kelek anak dengan Mahafiz. Tak sempat nak tegur.Apapun kenangan Sg Lembing tu memang indah.Geng-geng PM1-1993-1995 yg lain , bila nak join blog nih? Marilah sama-sama kita meriahkan blog nih. Asyik-asyik cerita Sabri jek ??? he he he……

Salam Ramadhan...

Bersama ini disertakan gambar kenangan kita semasa di MPTAA. Gambar ni aku jumpa dalam almari semasa mengemas rumah. Tak tau macam mana gambar yang sekeping dua ni terlepas ke Perak sebab seingat aku semua gambar di MPTAA dulu semuanya berada kat Pahang ( entah ada entah tidak lagi ). Bila tengok gambar teringat aku kenangan tu masa kelas kita buat picnic kat Teluk Cempedak. Siap panggang ayam lagi. Tengok gambar tu geng kita tengah nak hidup api dan bakar ayam. Geng ikat kepala kat depan tu silap tengok boleh sangka geng lanun yang rampas kapal malaysia kat teluk eden, somalia. Tapi paling dasyat geng kat belakang tu, belum apa-apa lagi dan terkeluar lidah. Tengok ayam panggang ke tengok Mahani dgn Che Ku Rohana ?????
Gambar satu lagi tu masa aku dengan beberapa geng lain kat istana sultan di Pekan. Masa tu majlis hari lain sultan tu le.. Tak dapat jadi sultan pun takpe. Yang aku tak ingat nama geng sebelah kiri aku, bukan yang jantan tu.. tapi yang pompuan tu. Jenuh aku nak recall balik, tapi tak ingat juga. Kalau tak ade Muin, Bairol dan Ida kat situ, sah dah gambar ni jadi bahan bukti... Kacau betul geng tiga orang ni.. aku plan ambil gambar dua orang je.. dan dan depa mai terpa dok sebelah.... apa pun itu lah kenangan di MPTAA...

Versi Sheikh Abuya
Terima kasih atas kesudian mengirim gambar ini.

Assalamualaikum warga MPTAA 93-95 Kuantan.

Ingatkah lagi ketika kita menimba ilmu di sana? Indah bukan??? Masih segar diingatan kita bersama dihantar oleh keluarga dan ditinggalkan dalam keadaan ketakutan. Mana tidaknya, lihat wajah-wajah senior bak harimau-harimau lapar. Pulang sahaja ahli keluarga kita diratah mereka. Minggu orientasi yang kita sama-sama alami dan lalui, penuh dengan pengalaman suka dan onak duri. Aku,dan rakan sebilik dikejutkan pukul tiga pagi lalu disuruh berkokok seperti ayam jantan. Kok, kok, kok aduh derita masih segar. Maklumlah kokokan ayam tua, ha,ha,ha. Disuruh aku jadi “pailot” kapal terbang dengan seorang penumpang, bagai nak gila memandu kapal terbang nak elak awan-awan yang berkepul-kepul. Kemudian menjumam ke lembah dan naik semula macam orang gila, hua,hua,hua. Al maklum sahaja pandu kapal terbang pukul tiga pagi dengan mata merah mengantuk.

Keesokan pagi-pagi lagi, kita semua dikejutkan oleh oleh “senior” betina yang badan gempal dari bawah bangunan dia bertempit, berteriak. Kemudia dengan visel pengadil bola dia tiup sehabis kuat maka kita pun bangun dan dipaksa mandi, berus gigi, dan buang air besar dalam masa satu minit. Tak pernah dibuat orang. Mendidih, mendidih rasanya. Pergi solat subuh dan kuliah subuh. Diberi sarapan, kemudian ada kuliah orientasi oleh para senior. Diajar lagu MPTAA, lagu Guru Malaysia dan lagu negeri Pahang. Diselitkan ceramah pengenalan MPTAA oleh penceramah undangan selaku pensyarah kita.

Hari-hari akhir, kita dipaksa bermain bola baling menentang senior. Aku dikasari oleh mereka sehingga pengsan. Aku ingatkan dah tak ada di dunia lagi. Alhamdulillah aku masih bernafas hingga sekarang.Maklumlah orang berumur macam aku mana mampu bergerak cergas macam anda semua. Di hari akhir kita disimbah dan dimandikan dengan air ……….. ingat tak lagi. Yang aku tak puas hati tu orang kampung aku buat tak kenal sehinggalah hari akhir , kita dioreantasi baru dia berbual dengan aku. Bengang, bangang, kah, kah, kah. Seronok juga ya, ketika mengenang kisah silam. Dapat memperkuatkan emosi kita ketika kita berada dalam dunia keguruan yang sebenar. Terpaksa menempuh ragam dan perangai murd-murid yang pelbagai. Ada yang berlari kerika kita sibuk mengajar, ada yang bermain ada yang mengintai-intai peluang untuk mengena rakan-rakan. Ada yang lepa sahaja barang rakan dia yang punya. Ada yang ke tandas umpama beristirahat di tepian pantai. Kita tempuh dengan penuh sabar engan emosi stabil. Malah ada penjaga yang dating ke sekolah sebab tak puas hati dengan tindaan guru ang tegur kesilapan anaknya. Aku alaminya di Selangor dulu. Macam mana kawan-kawan semua? Mungkin anda juga boleh hantarkan pengalaman untuk dimuatkan dalan blog ini ke ahmadfuadsani@yahoo.com.

Semester berikutnya pengambilan bulan Jun 1993, apa lagi kita pun bentuk jawatan kuasa untuk menyambut hidangan baru tuliskan selanjutnya …………



Aku lampirkan bersama-sama, kepingan gambar kenangan yang masih dalam simpanan aku. Kita tengok bersama-sama. Kalau rakan-rakan mempunyai banyak gambar kenangan boleh emailkan kat aku.